Home Utama Azmin panas punggung bila Najib sentuh pasal air

Azmin panas punggung bila Najib sentuh pasal air

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat riuh seketika selepas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berpuas hati apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyentuh isu berhubung kemelut bekalan air terputus di Selangor baru-baru ini.

Semasa sesi soal jawab, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memberikan laluan kepada Menteri Besar Selangor tersebut untuk mencelah dan bertanyakan mengenai tahap keberhutangan kerajaan, namun Azmin kepanasan apabila Najib mencuit beliau berhubung isu air di negeri ditadbirnya.

“Saya nak menegaskan bahawa masalah kemelut air di Selangor lebih kritikal,” kata Najib semasa menjawab soalan Azmin.

Azmin tiba-tiba bangun membuat kecoh dan tidak berpuas hati apabila disindir sedemikian sehingga memaksa Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyuruhnya duduk dan memberi amaran tindakan akan diambil jika masih enggan.

“Kalau Gombak berdiri sekali lagi, sudah banyak kali saya sudah buat arahan supaya duduk… saya tidak teragak-agak menggunakan kuasa saya.

“Jadi duduk kerana Pekan nak menjawab, Yang Berhormat lain tolong senyap,” kata Pandikar.

Najib yang diberikan laluan untuk menyambung menjawab soalan mempersoalkan tindakan Azmin yang kepanasan punggung apabila dibangkitkan mengenai krisis air di Selangor.

“Kenapa Gombak ini punggung panas bila sentuh pasal air, hairan hairan,” sindir beliau lagi.

Najib kemudiaan meneruskan sesi di Dewan Rakyat dengan menjelaskan tahap keberhutangan kerajaan masih pada tahap sederhana dan jauh lebih rendah berbanding dengan maju lain.

“Kini tahap hutang negara hanya berada pada paras 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini bermakna kdudukan hutang kita masih terurus dan Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana .

“Sedangkan jika nak dibandingkan dengan beberapa negara maju dimana hutang kerajaannya berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga ada melebihi 200%,” kata beliau.

Jelasnya lagi, sebenarnya kadar hutang negara mengucup dan saiz hutang tidak perlu dibangkitkan kerana kerajaan mempunyai kemampuan untuk membayarnya.

“Jadi, maknanya hutang negara dari segi keseluruhannya semakin mengucup, soalnya bukan saiz hutang daripada kemampuan kita bayar balik.

“Jadi kita ada kemampuan bayar balik yang tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antarabangsa telah meletak Malaysia dalam kategori A, jadi maknanya kewangan negara kita termasuk hutang negara kita memang diuruskan dengan baik dengan harapan masalah air di Selangor pun akan diselesaikan dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette