Home Nasional Duit hilang dikeluarkan pengadu – ASNB

Duit hilang dikeluarkan pengadu – ASNB

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan wang pelaburan dalam empat akaun mendapati pengadu yang mengeluarkan semua wang pelaburan tersebut.

Pengadu yang menggunakan nama Naomi Hutson di Facebook mendakwa akaun dia dan anak-anaknya berjumlah RM600.95 telah hilang.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2127064614249372&id=100008375622647

Kehilangan itu adalah melalui pelaburannya dalam Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Wawasan dan Amanah Saham Didik.

Dakwa wanita itu, kehilangan wang-wang pelaburan itu disedari selepas mengemas kini buku pelaburan baru-baru ini.

Posting yang dibuat pada 2 Mac lalu menjadi tular dan setakat ini sebanyak dikongsi oleh 19,000 akaun.

Mengulas dakwaan itu, ASNB melalui Facebooknya berkata, organisasi pelaburan itu telah menyiasat dan mendapati urus niaga terakhir Naomi Hutson adalah pada 23 Februari lalu di Pos Malaysia Berhad di Chenderong Balai.

Beliau telah mengeluarkan semua wang pelaburan anak-anaknya.

ASNB menjelaskan bahawa organisasi itu kini menggunakan sistem verifikasi kad pengenalan dan ibu jari pelabur dan ketiga-tiga urusniaga hanya boleh dilaksanakan dengan kehadiran pengadu.

“Rekod menunjukkan dalam semua urusniaga berkenaan, verifikasi kad pengenalan menunjukkan status ‘Pass’, membuktikan puan sendiri yang menjalankan urusniaga berkenaan,” kata ASNB.

Sehubungan itu, ASNB meminta Naomi Hutson menghubungi ASNB untuk memberikan fakta terbaharu yang boleh membuktikan pengadu bukan individu yang membuat pengeluaran.

Ia bertujuan memastikan siasatan lebih lanjut dijalankan untuk membantu menyelesaikan masalah, sekiranya benar berlaku pengeluaran tanpa kebenaran.

Tegas ASNB, pihaknya sentiasa berusaha memastikan wang pelabur berada pada tahap keselamatan tertinggi.

Lantaran itu, ASNB memandang berat sebarang tuduhan tanpa bukti kukuh yang boleh menjejaskan imej ASNB.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya, berdasarkan rekod yang kami miliki, jika Noami enggan bekerjasama,” kata ASNB sambil memohon maklum balas pengadu agar masalah berkenaan dapat ditangani. – MalaysiaGazette