KUALA LUMPUR – Malaysia kekal menjadi pilihan destinasi pelaburan bagi komuniti antarabangsa disebabkan persekitaran pelaburan yang baik, prestasi ekonomi menggalakkan dan kedudukan kompetitif yang tinggi.
Negara merekodkan aliran masuk pelaburan asing bersih secara berterusan sebanyak RM39.2 bilion pada tahun lalu.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) berkata, rizab antarabangsa kekal kukuh kepada AS $103.6 bilion atau RM419.1 bilion pada 15 Februari lalu.
Malaysia menambah baik kedudukan ke-23 berbanding ke-25 dalam kalangan 137 negara dalam Laporan Kompetitif Global 2017-2018 Forum Ekonomi Dunia.
Malaysia juga berjaya memperbaiki kedudukan ditangga ke-59 berbanding ke-69 dalam Indeks Pembangunan Manusia.
Negara juga bergerak ke tangga ke-70 berbanding tempat ke-73 pada tahun 2016 dalam Ranking Keselesaan Global 2017.
Katanya, kerajaan yakin dengan inisiatif dan usaha berterusan pertumbuhan ekonomi dijangka berdaya tahan.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur kekal antara 5 hingga 5.5 peratus pada tahun 2018 akan terus berusaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan meningkatkan ekonomi kepada RM2 trilion pada tahun 2025. – MalaysiaGazette