KUALA LUMPUR – Notis tindakan undang-undang sudah dihantar Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas tiada permohonan maaf daripada pemimpin DAP tersebut berhubung isu terowong dasar laut.
Menurut peguam Ahli Parlimen Baling itu, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, notis tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Jumaat lalu dan tarikh pengurusan kes ditetapkan 9 April ini.
Guan Eng mempunyai tempoh 14 hari bagi memberi maklum balas kepada notis tuntutan saman itu termasuk untuk membela diri.
“Notis tuntutan saman ini adalah berhubung kenyataan-kenyataan fitnah Guan Eng terhadap Abdul Azeez yang dibuat di dua lokasi iaitu ketika sidang akhbar beliau pada 28 Februari lalu serta ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Penang Development Corporation pada 1 Mac lalu,” beliau dipetik berkata.
Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji sebelum ini menjadi mangsa fitnah selepas namanya dikaitkan sebagai individu yang menerima rasuah berjumlah RM3 juta.
Wang itu merupakan sebahagian daripada RM22 juta yang turut dibayar kepada seorang lagi ahli perniagaan bagi menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Bagaimanapun, pemaju projek itu, Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) kemudian menarik balik tuntutan dan memohon maaf kepada Abdul Azeez serta mendakwa nama beliau digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu terbabit. – MalaysiaGazette