KUALA LUMPUR – Bersendirian dalam mendepani Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Pas menawarkan sembilan teras utama dalam manifesto peringkat nasional.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manifesto kali ini menjuruskan kepada menarik undi daripada bukan Islam kepada parti itu.
“Isu utama yang dihadapi rakyat adalah isu kos sara hidup, isu keselamatan dan perpaduan nasional. Kita anggap isu teras meliputi semua rakyat, Islam dan bukan Islam.
“Kita perlu bina sebuah Malaysia yang sejahtera tanpa kira agama dan bangsa. Kita harap tawaran yang kita buat nanti mampu untuk tarik pengundi bukan Islam kepada Gagasan Sejahtera,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.
Manifesto itu akan dilancarkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 18 Mac ini di Cyberjaya.
Antara teras utama yang direncanakan dalam manifesto ini adalah;
- Membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada rasuah.
- Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baru kepada rakyat.
- Usaha untuk meredakan kesan peningkatan inflasi kepada rakyat, dan kenaikan kos sara hidup.
- Mengurangkan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
- Meningkatkan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal indah yang cemerlang.
- Mengharmonikan sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak Syariah.
- Mengukuhkan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.
- Memerkasakan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan dekorasi.
- Menambahbaik keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.
Menyedari keperluan untuk mendampingi golongan muda, Tuan Ibrahim berkata, manifesto ini akan menumpukan isu rakyat yang sejumlah besarnya adalah untuk golongan muda.
“Kita ada beberapa sasaran antaranya pengundi 40 tahun ke bawah, antara isu mereka adalah kos sara hidup, pendidikan, isu perumahan rakyat. Gagasan Sejahtera akan letakkan asas keutamaan membina manifesto kepada 30 peratus generasi muda,” katanya.
Malah menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohamad Zuhdi Marzuki, manifesto untuk menghadapi PRU14 adalah yang berimpak tinggi kepada rakyat.
“Manifesto Gagasan Sejahteta adalah sesuatu yang sangat menarik kerana ia berbeza dengan yang lepas.
“Kita tawar secara langsung tetapi kita akan senaraikan siapa yang tepat, nelayan, petani, graduan, jadi kita punya adalah secara langsung kepada golongan tertentu,” jelas Zuhdi. -MalaysiaGazette