KUALA LUMPUR – Pergeseran antara Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dengan MCA merupakan isu remeh yang tidak perlu diperbesarkan.
Pensyarah Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berpendapat, apa yang berlaku tidak sedikitpun menyentuh sensitiviti budaya dan itu merupakan hak masing-masing.
Malah, penyokong MCA terutama di kawasannya di Padang Rengas tidak wajar terlalu memboikot Nazri yang mungkin telah menabur jasa kepada mereka hingga ada yang sudah menjadi kaya.
“Mungkin Nazri tidak tahu, jika dia sengaja buat tidak menjadi masalah apa-apa. Bukan isu besar. Lagipun, tidak ada apa-apa kejadian malang yang berlaku.
“Jangan jadi kaduk naik junjung. Berpada-padalah. Tidak perlu berkelahi dengan Nazri Aziz. Malah, perlu berterima kasih kerana selaku menteri pelancongan dan kebudayaan, saya fikir ramai orang Cina yang telah dibantu dan dikayakannya, terutama dalam sektor perhotelan dan pelancongan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Riduan Tee berkata, MCA telah banyak menyingung perasaan umat Islam sebelum ini apabila mereka dilihat cuba mencampuri hal ehwal agama.
Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila MCA terlalu menentang Akta 355 yang tidak ada kena mengena dengan mereka.
Tambah beliau, MCA perlu akur dan hormat kepada Islam jika mereka mahukan Melayu menghormati mereka.
“Saya hanya akur kepada MCA jika mereka hormat kepada Islam dan pada masa sama berjaya menarik undi Cina kepada BN.
“Tetapi boleh dikatakan majoriti besar undi pergi kepada DAP. MCA hanya mengharapkan undi Melayu.
“Apakah ini sebenarnya jasa kepada negara? Tidak ada jasa yang ditinggalkan itu adalah hasil daripada ihsan orang Melayu yang memberi kemenangan kepada MCA?,” soalnya. – MalaysiaGazette