SEOUL – Korea Selatan berkata negara itu belum menerima maklum balas dari Pyongyang berhubung pertemuan antara Kim Jong-un dan Donald Trump.
“Kami belum menerima sebarang maklum balas daripada rejim Korea Utara berhubung pertemuan tersebut.
“Saya berpendapat mereka melihat perkara ini dengan berhati-hati dan memerlukan masa untuk memutuskannya,” menurut jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan.
Pada Jumaat lalu, Trump mengejut dunia apabila mengumumkan menerima jemputan Korea Utara untuk mengadakan pertemuan itu.
Jurucakap Korea Selatan berkata, Jong-un sedang bersiap-sedia untuk menghentikan program senjata nuklear.
Setakat ini perincian tentang rundingan itu masih samar kerana ia tidak melibat sebarang perjanjian berhubung lokasi dan agenda.
Berikutan itu kebanyakan penganalisis skeptikal tentang hasil rundingan tersebut, mengambil kira isu-isu yang terlibat. – MalaysiaGazette