KUALA LUMPUR – Pengundi Parlimen Bandar Tun Razak sudah lama menderita sejak sembilan tahun lalu di bawah Pakatan Rakyat yang kini dikenali Pakatan Harapan.
Justeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah masa terbaik untuk mengembalikan semula kerusi itu kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN turut menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar sebagai hero di parlimen itu.
“Hebat orang BTR (Bandar Tun Razak) dan cukup luar biasa malam ini. Saya sudah pergi banyak tempat, BTR luar biasa.
“Ini satu manifestasi BTR akan jadi milik BN. Sembilan tahun dalam dakapan sengsara, sembilan tahun kepanasan, kehujanan dan sembilan tahun dalam longkang penderitaan.
“Ini masa kita rampas balik untuk BN. Hero kita Datuk Rizalman,” katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya & Dry Run Bandar Tun Razak malam ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Rizalman.
Ahli Parimen Bandar Tun Razak ketika ini adalah Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini merupakan wakil rakyat bebas dan sebelum ini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, situasi ketika PRU-12 dan PRU-13 amat berbeza dengan menjelangnya PRU-14 tidak lama lagi.
Jelas beliau, untuk PRU-14, satu perasaan luar biasa dapat dirasakan untuk meraih kemenangan buat BN.
“Dulu PRU-12, perasaan perkauman menebal antara MCA dan pengundi Melayu. Kononnya harap guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan.
“Wakil rakyat pun jadi Menteri Besar di sebuah negeri. Kita pun harap tempias namun air setitik pun tidak dapat,” katanya.
Ahmad Zahid juga menasihati jentera BN agar tidak bercakap tentang parti-parti lain.
“Jangan cakap tentang orang lain. Biar dia orang kutuk dan maki kita. Kita jangan cakap buruk namun cakap yang baik sahaja dan apa BN sudah buat untuk rakyat.
“Apabila kita tidak bercakap pasal orang lain, tutup aib orang, Allah SWT akan tutup aib kita,” katanya.- MalaysiaGazette