Home Nasional Slot anti rasuah akan diperkenalkan di tabika KEMAS

Slot anti rasuah akan diperkenalkan di tabika KEMAS

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA –  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bakal memasukkan slot nilai-nilai murni dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menguasai kemahiran 4M, kanak-kanak akan dididik dengan budaya murni untuk menolak salah laku rasuah secara pendekatan mudah.

“Budaya menolak rasuah ini mesti bermula dari peringkat awal lagi, oleh kerana KEMAS berada di bawah kementerian saya (KKLW).

“Kita ada satu program di bawah nilai-nilai murni di bawah KEMAS ini, kita akan masukkan secara tidak berat tentang apa itu rasuah dan sebagainya.

“Anak-anak kita ini baru empat hingga enam tahun, jadi tak terlalu berat, mungkin ada cara tertentu kita akan terangkan kepada mereka tentang unsur-unsur berkaitan dengan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Ikrar Bebas Rasuah di ibu pejabat KKLW hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKLW dan Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2018.

Ismail Sabri juga berkata, selain tabika KEMAS, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah kementeriannya juga tidak terkecuali dengan program anti rasuah menerusi Rakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bukan saja MARA, tapi di bawah Risda, Felcra, dan program-program latihan kita jangka pendek jangka panjang, kita boleh masukkan slot menolak rasuah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama kakitangan KKLW melafazkan ikrar pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKLW dan Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2018.

“Begitu juga institusi pengajian di bawah MARA termasuk UniKL, kita minta SPRM memperbanyakkan ceramah berkaitan rasuah kepada pelajar-pelajar kita.

“Apabila pelajar-pelajar ini masuk ke alam pekerjaan, jika tidak dididik dari awal, peluang untuk terlibat dengan perkara negatif akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.