Home Utama Tiada keperluan teruskan sumpah baiah talak tiga – Pas

Tiada keperluan teruskan sumpah baiah talak tiga – Pas

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas mungkin menggugurkan syarat sumpah baiah kepada calonnya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas melihat tidak ada keperluan untuk meneruskan syarat tersebut di Kelantan.

Katanya, di negeri itu nyata berbeza dan secara dasarnya Majlis Syura Ulama (MSU) juga tidak mewajibkan perkara itu.

“Secara prinsipnya Majlis Syura Ulama tak ada baiah talak tiga, kecuali di Kelantan sahaja pada waktu itu kerana kita tinggal satu kerusi, kita kena faham bahawa sebab itu walaupun baiah dibuat kita perhati bagaimana calon-calon kita tidak khianat kepada rakyat, jangan tengok kepada baiah tengok kepada kesan baiah, kesan baiah calon Pas tidak khianat kepada rakyat, Pakatan Rakyat tumbang di Perak bukan kerana Pas.

“Kali ini baiah talak tiga kemungkinan tidak ada, dulu pun tidak ada kecuali di Kelantan, kita jangan ambil yang kecuali itu yang Kelantan kerana keperluan pada masa itu, secara umumnya tidak ada,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di ibu pejabat parti itu hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, Pas sehingga kini tidak membuat permohonan untuk mengekalkan syarat talak tiga kepada calon parti Islam itu di Kelantan.

“Tidak ada, setakat ini Majlis Syura belum terima permohonan lagi dari Kelantan.

“Kita kena faham baiah ini kena ambil prinsip umum apa tujuan baiah tujuan supaya tidak khianat kepada rakyat, rakyat yang pilih kita tiba-tiba wakil rakyat yang khianat, macam mana kita nak halang supaya kerusi dimenangi tidak dijual, lompat parti hingga rakyat kecewa rakyat kecewa,” katanya. – MalaysiaGazette