KUALA LUMPUR – Manifesto Pas yang bakal dilancarkan pada 18 Mac ini dilaporkan tidak akan mengetengahkan lagi konsep negara Islam.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, terma negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas tidak dimasukkan dalam manifesto kali ini kerana parti itu sudah berpegang kepada perjuangan Islam secara umumnya.
“Terma atau istilah (negara Islam) itu tidak digunakan langsung dalam manifesto kita secara umumnya.
“Tapi usaha itu selaras dengan peruntukan dalam Perlembangaan Pas iaitu mewujudkan masyarakat yang amalkan budaya hidup yang harmoni dan ikut perintah tuhan, tidak disebut secara terang,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu pejabat parti itu hari ini.
Pas yang mengetuai Gagasan Sejahtera akan melancarkan manifesto di peringkat nasional pada Ahad ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto mereka pada Khamis lalu dan hanya tinggal Pas dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang belum melancarkan manifesto di pihak masing-masing.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas adalah sebuah parti yang berjuang melaksanakan cita-cita Islamnya yang berteraskan kepada perlembangaan parti dan perlembangan negara.
“Samada kita nak naik taraf mahkamah syariah tapi itu di bawah kehendak kerajaan pusat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.