MELAKA – Pengundi dinasihatkan agar tidak memperjudikan masa depan negara semata-mata kerana terpengaruh dengan manifesto yang diumumkan oleh pembangkang, kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata, ini kerana manifesto yang diumumkan baru-baru ini bersandarkan kepada faktor yang tidak realistik serta bersifat populis untuk menarik sokongan dan bukan untuk kebaikan rakyat dalam jangka masa panjang.
Katanya, apa yang dicadangkan pembangkang boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang ramai tetapi persoalan yang timbul sama ada siapa yang akan membayar segala jenis kos dan hutang daripada inisiatif yang dilaksanakan dalam manifesto tersebut.
“Siapa yang akan bayar, adakah mereka mahu generasi masa depan negara ini membayar segala hutang ini? Maka kita kena berhati-hati sebab banyak janji yang tidak realistik,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Parti Gerakan Negeri Melaka di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi berkata ia berbeza dengan manifesto yang diumum Barisan Nasional (BN) setiap kali pilihan raya yang lebih berdasarkan fakta, realiti dan sokongan rakyat. – MalaysiaGazette