KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan peluasan, pengubahsuaian dan peningkatan terminal Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sedang dirancang dan akan dibina dalam tempoh lima tahun lagi.
Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, setakat ini MAHB tidak ada rancangan untuk membina terminal ketiga KLIA.
Beliau membuat penjelasan itu ekoran laporan rancangan MAHB untuk membina sebuah terminal baharu dalam tempoh lima tahun akan datang apabila KLIA dan klia2 menghampiri kapasiti maksimum.
Kombinasi kapasiti penumpang di kedua-dua lapangan terbang itu kini adalah 75 juta penumpang setahun dan pada tahun lalu merekodkan 58.6 juta pergerakan penumpang.
Ini bermakna, lapangan terbang itu masih mampu menampung kapasiti segera pertumbuhan trafik.
Bagaimanapun, terminal utama KLIA sudah menghampiri kapasiti 30 juta penumpang setahun, lantaran itu MAHB merancang untuk meningkat dan meluaskan supaya dapat menampung tambahan penumpang antara 15 hingga 20 juta penumpang.
Badlisham berkata, kemudahan-kemudahan itu untuk ditambah baik telah dikenal pasti, ia termasuk sistem pengendalian bagasi dan Aerotrain.
“Bangunan terminal sedia ada akan diperluaskan dan diubah suai untuk meningkatkan kecekapan dan kemudahan seperti papan pendaratan dan tempat letak pesawat. Kerja-kerja ini akan selesai dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Jelasnya, Malaysia masih perlu menunggu tempoh berabad untuk menambah terminal baru dalam sistem KLIA.
Menurut beliau, Pelan Induk KLIA memperuntukkan tanah yang mencukupi dan boleh menampung lebih banyak terminal untuk KLIA dan klia2 serta landasan lain pada masa akan datang.
Pada masa ini, MAHB komited untuk melabur dalam peningkatan dan pengembangan terminal semasa bagi meningkat kapasiti.
“Selepas itu baru kita boleh bercakap mengenai terminal baru – KLIA3, tetapi itu pada dekad yang jauh,” katanya. – MalaysiaGazette