Home Politik Lim Guan Eng semakin terdesak

Lim Guan Eng semakin terdesak

KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ‘sengaja’ menyebarkan sekeping gambar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star (SMG), Datuk Seri Wong Chun Wai dengan suspek menerima suapan RM19 juta, Datuk Seri G Gnanaraja sebenarnya satu tindakan terdesak.

Ini kerana Guan Eng seperti biasa akan sedaya upaya menunding jari tentang isu tertentu bagi memutar belitkan fakta untuk mengelirukan rakyat terutamanya di Pulau Pinang.

Mana tidaknya, Guan Eng yang sepatutnya menjawab hubungan antara beliau dan Gnanaraja apabila mereka bergambar di kediaman ahli perniagaan itu masih lagi menjadi tanya kerana Setiausaha Agung DAP  itu masih enggan mengulas perkara tersebut.

Malah Guan Eng mengeluarkan kenyataan berbaur amaran kepada media dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak berterusan menyebarkan gambar beliau dengan Gnanaraja atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Menurut Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, tindakan Guan Eng cuba memutar belit dengan menyebarkan gambar Chun Wai dengan Gnanaraja yang di ambil pada majlis makan malam Anugerah Hartanah StarProperty.my 2017 (SREA 2017) adalah menjengkelkan.

“Gambar yang diambil oleh Gnanaraja dengan Chun Wai di sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai orang. Gambar yang di ambil oleh Gnanaraja dengan Guan Eng pula di rumah beliau, keintiman dalam gambar itu jelas sekali.

“Bagaimanapun, kita tidak menuduh sebaliknya hanya mahu penjelasan dari Guan Eng, bagaimana beliau boleh mengambil gambar itu di rumah Gnanaraja yang baru-baru ditangkap kerana menerima suapan luar biasa sehingga mencecah RM19 juta daripada kontraktor yang terlibat langsung dengan pembinaan terowong dasar laut. Itu sahaja.

“Mengapa pula Guan Eng mengelak dan hari ini sangat memeranjatkan apabila pamerkan gambar dengan Chin Wai yang turut diambil dengan orang lain pada sebuah majlis keramaian. Sesiapa yang sedang menasihati Guan Eng dalam isu ini tentu mempunyai kerosakan ‘otak’,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Guan Eng dalam sidang media di Komtar hari ini mendakwa Chun Wai memiliki kaitan apabila dilihat bergambar mesra bersama Gnanaraja.

Beliau ditahan SPRM pada 28 Februari lalu bagi membantu siasatan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Gnanaraja dipercayai mendakwa dirinya mampu menutup kes siasatan SPRM berhubung pembinaan terowong bawah tanah dan sebagai balasannya menerima suapan sebanyak RM19 juta melalui transaksi bank antara Jun sehingga Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Chun Wai menyifatkan tindakan Guan Eng itu mempunyai niat serta agenda tertentu.

Menurut beliau, pertemuan dengan individu tertentu adalah lumrah bagi seorang pengamal media, apatah lagi jika memegang jawatan penting dalam syarikat berkenaan.

Katanya, beliau sering diminta jurugambar bertugas untuk bergambar bersama tetamu walaupun tidak saling mengenali.

“Ada banyak majlis yang saya hadiri dan bergambar bersama tetamu adalah lumrah. Pada kebanyakan masa, saya sendiri tidak mengenali mereka,” katanya.

Chun Wai berkata, foto dimaksudkan itu dirakam pada majlis makan malam Anugerah Hartanah StarProperty.my 2017 (SREA 2017) yang diadakan di Nexus Bangsar South, di sini.

Acara berkenaan adalah anjuran Star Property yang juga anak syarikat SMG.

Beliau juga menyindir Lim berhubung tempat gambar itu diambil dan kasut yang dipakai beliau.

“Seperti yang terbukti dalam foto ini terdapat lebih dua orang hadir, ini adalah majlis awam dan bukan di kediaman persendirian.

“Saya memakai jaket hitam untuk makan malam dan yang pasti memakai kasut ketika gambar itu diambil,” katanya.