KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak getar dengan hasrat PKR yang mahu merampas Parlimen Padang Rengas yang disandangnya.
Malah Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, usaha beliau mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan tergugat dengan rancangan PKR itu.
“Saya lihat sejak 2004 PKR bercakap begini (yakin rampas Padang Rengas).
“Dia lawan saya sejak 1999 lagi, dan tak salah dia yakin kerana itu semangat dia untuk bertanding dan mahu rampas kerusi saya.
“Kalau kamu hendak turun ke gelanggang tinju perlu yakin, jika tidak mana boleh menang. Begitulah situasi PKR yang nak berdepan saya di Padang Rengas,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.
Ditanya beliau akan berdepan masalah mengembalikan keyakinan pengundi bukan Melayu pada PRU14, Menteri Pelancongan itu berkata, beliau sudah berkhidmat dengan rakyat berbilang kaum sejak sekian lama.
“Saya tak takut dan tak tahu apa akan berlaku pada masa depan. Saya melakukan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum di Padang Rengas dan mereka kenal saya dan akan membuat keputusan terbaik ,” katanya.
Beliau yang turut diminta mengulas kenyataan Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik kerajaan berkata, kerajaan semasa merupakan kerajaan yang pernah dianggotai mereka di dalam Kabinet.
“Piliha raya sudah mahu tiba, bila-bila masa dan mereka sudah kecewa kerana 10 tahun tak bertanding dan tak diberikan kerusi oleh kepimpinan.
“Maka mereka terbawa dendam-dendam yang disimpan itu terhadap kerajaan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette