KUALA LUMPUR – Bangsa Melayu pernah dilabelkan sebagai bangsa di dunia yang memiliki deria keenam ketika mengemudikan pelayaran persis bangsa Viking di Eropah serta setaraf bangsa Norseman dan Phoenician.
Pakar Sejarah Awal dan Maritim, Asia Tenggara, Dr. Ahmad Jelani Halimi berkata, ini kerana sejarawan barat mengagumi ilmu pelayaran orang Melayu ketika itu yang tidak mempunyai kompas atau carta bertulis.
Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia memberitahu, bangsa Melayu mampu mengembara di lautan sejauh mata memandang dan berjuta-juta batu.
“Setiap pelayaran yang jauh dan memakan masa lama memerlukan fizikal yang kukuh bagi memastikan keselamatan anak-anak keselamatan serta barangan dagangan.
“Justeru bangsa Melayu itu sendiri mempunyai kemahiran membina teknologi perkapalan dengan menghasilkan pelbagai jenis sampan, perahu dan jong yang memiliki nama dan fungsi masing-masing.
“Pakar-pakar perkapalan Eropah misalnya telah menemui dengan teknik pembuatan kapal ‘sewn-plank and lashed-lug’, yang mana teknik ini hanya digunakan oleh orang Melayu sahaja ketika era Srivijaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Manuskrip Melayu Bil. 1/2018 – Hukum dan Peraturan Samudera Alam Melayu: Satu Tinjauan Kedinamikan Pemikiran Melayu di Perpustakaan Negara di sini hari ini.
Ahmad Jelani menambah, golongan muda Melayu wajar mengambil ikhtibar kehebatan bangsa Melayu dahulu yang tidak memilik tekonologi untuk berjaya.
“Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang tidak ada teknologi tetapi berjaya menyesuaikan dengan engan persekitaran ketika itu.
“Kita di kelilingi laut, ombak dan badai untuk mengharungi semua itu dan tidak pakai kereta lembu atau gajah.
“Teknologi kita sebenar lebih hebat berbanding orang barat yang dibantu oleh domestik atau binatang peliharaan mereka seperti kuda.
“Sebab itu, bangsa Melayu dapat buat layar yang fleksibel walaupun perahu kita panjang 60 meter.
“Jadi anak muda wajar kembali melihat kemampuan bangsa dahulu dan melestarikan cara kita berfikir dan undang-undang dan peraturan harus sesuai mengikut zaman,” katanya.
Ahmad Jelani turut menyifatkan bangsa Melayu merupakan bangsa yang boleh berfikir, mencipta dan juga kreatif namun sering tersekat oleh peranan golongan monarki. – MalaysiaGazette