KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii mengesahkan namanya antara yang disebut-sebut sebagai calon Parlimen Wangsa Maju pada PRU-14.
Bagaimanapun beliau mengakui ia belum pasti kerana kata akhir daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Beliau berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan malah kini tersebar luas meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU14.
“Kecoh sudah berita ini (tapi) saya tak pasti (jadi calon),” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi mesej hari ini.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional Parlimen Wang Maju ialah Ketua Bahagian UMNO kawasan itu sendiri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah tetapi tewas ditangan penyandangnya sekarang, Datuk Dr. Tan Kee Kong mewakili PKR ketika itu.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013 menyaksikan Kee Wong yang mewakili PKR mengalahkan Mohd Shafie dengan majoriti 5,511 undi.
Kerusi P116 sebelum ini menjadi panas apabila penyandang sebelum ini, Wee Choo Keong yang menang atas tiket PKR pada PRU-12 berpaling arah dan menjadi wakil rakyat bebas.
Walaupun Choo Keong mengumumkan keluar parti namun PKR masih dapat mengekalkan kerusi itu di tangan pembangkang dan keadaan itu bakal menguji keupayaan serta kekuatan Mohd Razlan sekiranya benar-benar terpilih menjadi calon.- MalaysiaGazette