Home Politik Sokongan rakyat berada pada tahap sihat – Shahrizat

Sokongan rakyat berada pada tahap sihat – Shahrizat

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abd Jalil menyifatkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) berada pada tahap sihat berdasarkan laporan diperingkat yang diterima daripada akar umbi.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata beberapa persiapan akhir jentera sayap parti itu sedang berjalan dan akan mula bergerak sebaik sahaja gendang pilihan raya umum mula diumumkan.

“Mesyuarat hari ini kita membincangkan hala tuju dan persiapan terakhir jentera Wanita UMNO, yang telah balik ke kawasan masing-masing dalam membuat persiapan di akar umbi serta meninjau senario dan suasana di peringkat akar umbi dan Alhamdulillah, hasil laporan yang kita terima peratusan sokongan rakyat kepada BN pada tahap yang sihat.

“Namun, dalam kita menghadapi PRU ini, kita perlu berhati-hati, tidak boleh sambil lewa dan saya minta Wanita UMNO di peringkat akar umbi dapat memastikan agar gerak kerja kita dibuat demi memastikan kemenangan BN pada PRU14 kelak,” beliau dipetik berkata selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Wanita hari ini.

Dalam pada itu, mengenai isu kerusi dan sama ada tercalon atau tidak dalam pilihan raya nanti, Shahrizat menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk memutuskan dan yakin dengan setiap keputusan yang dibuat mempunyai pasti akan membuahkan hasil.

“Nasib saya sebagai calon atau tidak, saya serahkan kepada YAB Datuk Seri Najib dan saya yakin, dia tahu apa nak buat kepada Ketua Wanita UMNO Malaysia ini.

“Saya tidak stress, tidak rasa apa walaupun di’lamar’ (untuk bertanding di kawasan-kawasan tertentu), saya rasa dihargai tetapi akhirnya Presiden parti akan menentukan dan tahu apa yang nak dibuat bukan sahaja kepada Ketua Wanita tetapi juga kepada pimpinan Wanita secara keseluruhannya,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette