Home Nasional Tiada lagi resit tol mulai 19 Mac ini – PLUS

Tiada lagi resit tol mulai 19 Mac ini – PLUS

PLUS

KUALA LUMPUR – Bermula pada 19 Mac ini, tiada lagi resit tol bagi transaksi tol akan dicetak dan dikeluarkan di semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Langkah ini merupakan salah satu daripada pendekatan PLUS untuk mengelakkan kesesakan apabila kenderaan keluar dari lebuh raya.

Sebaliknya, pengguna boleh mendapatkan resit transaksi tol secara online menerusi portal PLUSMiles atau pun portal Touch ‘n Go.

“Matlamat pelaksanaan transaksi tol secara elektronik sepenuhnya yang lebih pantas dan mudah sukar dicapai sekiranya masih terdapat sesetengah pengguna lebuh raya yang masih mahu mencetak resit tol bagi perjalanan mereka,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

Menurut Zakaria, lazimnya, pengguna akan beratur di lorong paling kiri (Lorong Pelbagai Kelas) untuk mendapatkan resit tol dan tindakan ini akan menyebabkan kesesakan di lorong terbabit dan ia selalunya akan mengganggu perjalanan pengguna di lorong-lorong yang berhampiran.

Sehubungan , Zakaria menyarankan supaya pengguna kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mendaftarkan kad mereka di portal-portal PLUSMiles atau Touch ‘n Go iaitu www.plusmiles.com.my dan www.touchngo.com.my bagi membolehkan mereka mencetak penyata transaksi elektronik  untuk urusan tuntutan perjalanan ketika bertugas.

Setelah mendaftar, pengguna boleh mengakses rekod penggunaan kad elektronik mereka seperti butiran transaksi (termasuk transaksi untuk bayaran lain seperti perkhidmatan awam, parkir dan lain-lain), penyata transaksi, baki kad, tarikh luput kad dan lain-lain lagi.

Selain itu, rekod pembayaran dan tambah nilai tiga bulan terdahulu juga boleh diakses di portal PLUSMiles dan Touch n’ Go pada bila-bila masa.

Pengguna hanya perlu mengisi tarikh di ruangan carian bagi memudahkan pencarian penyata transaksi bayaran tersebut.

PLUS berkata, Pengguna juga boleh menyemak semula pergerakan perjalanan mereka di lebuh raya di portal tersebut.

Dalam pada itu, operator kenderaan berat atau kenderaan komersil boleh mendapatkan penyata transaksi kenderaan mereka dengan lebih mudah apabila mendaftar menerusi Program PLUSTrack.

Program PLUSTrack adalah program kesetiaan keahlian khusus untuk kenderaan berat dan komersil yang ditawarkan oleh PLUS.

Menerusi program ini, operator kenderaan berat dan komersil boleh mendapatkan penyata transaksi serta menyemak pergerakan perjalanan kenderaan mereka di lebuh raya secara online menerusi www.touchngo.com.my. – MalaysiaGazette