Home Politik Tidur makin kurang PRU semakin dekat – Najib

Tidur makin kurang PRU semakin dekat – Najib

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memperuntukkan waktu rehat hanya beberapa jam sahaja berikutan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) semakin dekat, berbanding hari-hari kebiasaan.

“Tidur kurang, (tapi) kerja lebih, cakap pun lebih dan mudah-mudahan undi pun lebih. Kerja-kerja ke arah PRU14 harus dilipatgandakan sebaik mungkin sehingga ke saat akhir,” katanya.

Jawapan itu diberikan sambil berseloroh ketika ditanya moderator Fizo Omar pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat – Penjawat Awam di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan dekat Ipoh, kira-kira 12 kilometer dari Ipoh.

Beberapa soalan dikemukakan pada sesi soal jawab menerusi aplikasi Slido.com yang menyentuh mengenai pelbagai isu antaranya dasar kerajaan, kisah kehidupan harian perdana menteri dan cabaran menjadi pemimpin negara.

Sewaktu sesi soal jawab yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, Najib turut meminta penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan supaya merebut peluang dengan menambah aset membeli rumah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Sebab kuarters bukan kita punya, itu ‘gomen’ (kerajaan) yang punya. Jadi saya hendak penjawat awam nanti ada aset sebelum mereka bersara kelak,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang terlintas di fikiran perdana menteri ketika datang ke Ipoh, beliau menjelaskan negeri ini terkenal makanan dan ketika ini Nasi Vangey terlintas dalam fikirannya.

Najib turut menarik perhatian hadirin dengan berkongsi kenangan paling diingati dalam konteks di negeri ini, satu daripadanya merupakan penubuhan kerajaan Perak.

“Sebenarnya banyak momen segar dalam ingatan saya sampai hari ini. Bagi konteks Perak, adalah bagaimana hendak tubuhkan kerajaan Perak. Itu banyak peristiwa penting yang boleh diceritakan nanti apabila sampai masanya,” katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dengan empat Anggota Dewan Undangan Negeri keluar daripada pakatan pada 2009 sebelum digantikan Barisan Nasional yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sehingga kini.

Sebelum mengakhiri sesi soal jawab tersebut, Najib turut sekali lagi memberi indikasi kepada hadirin bahawa ‘hari raya’ yang dimaksudkan PRU14 itu akan diadakan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette