ADEN (DUBAI) – Arab Saudi dan musuhnya di Yaman, Pergerakan Houthi dikatakan mengadakan rundingan sulit untuk mengakhiri perang selama tiga tahun yang telah menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia, demikian menurut sumber diplomat dan ahli politik Yaman.
Arab Saudi bersama sekutu-sekutunya sedang berperang untuk melawan pengaruh musuh mereka, Iran yang merupakan sekutu Houthi.
Houthi bagaimanapun menafikan mendapat pertolongan Tehran dan sebaliknya berkata mereka memerangi ahli-ahli politik yang korup dan kuasa Teluk yang bersekongkol dengan Barat.
Bercakap kepada Reuters, dua diplomat dan dua orang pegawai Yaman yang mahu identiti mereka dirahsiakan berkata, jurucakap Houthi Mohammed Abdul-Salam telah berkomunikasi secara langsung dengan pegawai-pegawai Saudi di Oman di dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik tersebut.
“Ada rundingan di antara Houthi dan Saudi tanpa kehadiran wakil yang diiktiraf oleh kerajaan di peringkat antarabangsa dan ini menunjukkan Houthi dan pakatan tersebut berhasrat untuk mencapai satu perjanjian komprehensif,” kata salah seorang diplomat tersebut kepada Reuters.
Seorang pegawai pakatan berkenaan bagaimanapun menafikan Arab Saudi ada mengadakan rundingan dengan Houthi dan mengesahkan sokongan kepada usaha-usaha damai yang dijalankan PBB di dalam mencari penyelesaian politik terhadap konflik tersebut.
Pakatan Houthi tidak memberi sebarang komen.- MalaysiaGazette