SINGAPURA- Royal Dutch Shell hampir memenangi perjanjian untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) kepada Hong Kong sekaligus bakal mengenepikan beberapa pesaing utama termasuk Petronas.
Menurut sumber, sekiranya berjaya, Shell akan mendapat hak untuk menjadi syarikat pertama membekalkan LNG ke bandar tersebut melalui syarikat utiliti Hong Kong, CLP Power.
Hong Kong ketika ini sedang melakukan perubahan besar untuk menggunakan lebih banyak gas asli berbanding arang batu sebagai bahan bakar penjanaan tenaga elektrik.
Ini bakal menjadikan permintaan terhadap sumber LNG menjadi lebih kukuh dalam pasaran Asia.
Di bawah perjanjian tersebut, Shell akan membekalkan kira-kira 1.2 juta tan LNG setahun selama 10 tahun bermula selepas 2020, kata sumber yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun, perjanjian bekalan itu tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID) bagi terminal import LNG luar pesisir yang akan meliputi unit simpanan terapung dan regasifikasi, kata seorang sumber.
Tidak dapat dipastikan sama ada perjanjian tersebut telah diikat (binding agreement) atau sebuah memorandum persefahaman.
CLP dan Petronas tidak memberi sebarang komen manakala Shell berkata, ia sentiasa mencari peluang untuk berkembang dan meningkatkan keuntungan.
“Ini mungkin merangkumi perbincangan dengan pihak ketiga dari semasa ke semasa dan sebarang perbualan adalah rahsia,” kata jurucakapnya.- MalaysiaGazette