KUALA LUMPUR – Kerajaan Sri Lanka memberi jaminan keselamatan etnik minoriti Islam di negara sosial republik itu akan terus dilindungi.
Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, A.J.M Muzammil berkata, insiden rusuhan kaum yang tercetus minggu lalu di beberapa wilayah di negara itu telah menjejaskan kaum minoriti Islam dan kerajaannya berdukacita atas apa yang berlaku.
“Polis diturunkan untuk mengawal keadaan sebelum anggota tentera dikerah dan berjaya mententeramkan keadaan dengan mengisytiharkan darurat.
“Kita berjaya menyekat segala propaganda dan berita palsu berkaitan rusuhan menerusi media sosial untuk membawa keamanan di wilayah Timur Ampara dan beberapa kawasan lain seperti Kandi.
“Lebih 260 orang individu yang disyaki terlibat di sebalik insiden itu berjaya ditahan dan sedang disiasat polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di pejabat beliau di ibu negara.
Dalam perkembangan berkaitan kata Muzammil, Presiden Sri Lanka, Maithiripala Srisena sendiri turun kawasan insiden memantau kerosakan harta benda dan nyawa terkorban khususnya etnik Islam yang terjejas teruk dalam insiden tersebut.
“Saya memberi jaminan, kerajaan kita sudah mengambil segala langkah terbaik dalam hal ini bagi mengekalkan keamanan umum selain melindungi masyarakat Islam,” tegasnya.
Terdahulu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay bersama empat lagi badan Islam antaranya Gerakan Pemuda Muslim Malaysia (Gepima), Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia telah menyerahkan memorandum bantahan penindasan terhadap Islam Sri Lanka.
Amir Amsaa telah berdialog selama 30 minit bersama Muzammil untuk menyampaikan mesej supaya hak dan kehidupan etnik Islam Sri Lanka dilindungi sambil merakamkan penghargaan atas kejayaan pihak berkuasa negara itu yang berjaya mengawal situasi.
“Kami sudah memanjangkan mesej tegas kepada Pesuruhjaya Sri Lanka bahawa kerajaan itu perlu terus mengambil langkah memastikan insiden berkenaan tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Pesuruhjaya Sri Lanka sudah memberi jaminan masyarakat Islam akan terus dilindungi, kita sangat tegas dalam hal ini kerana tidak mahu insiden buruk seperti yang dihadapi Rohingya di Myanmar berlaku di Sri Lanka,” katanya.- MalaysiaGazette