Home Utama Jangan perjudi masa depan negara dengan memilih Tun M

Jangan perjudi masa depan negara dengan memilih Tun M

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat di negara ini khususnya kaum Melayu tidak seharusnya memperjudikan masa depan mereka dengan memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Menteri Perdagangan Antarabangsa, dan Industri itu turut berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak akan teragak-agak untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan demi menjaga hati rakan sekutunya yang mahu hak kesamarataan kaum di negara ini.

“Mahathir bawa kita ke satu jalan atau lorong yang akan membawa kepada perubahan tonggak negara kita, akan berlaku perubahan kepada Pelembangan Persekutuan yang kini berteraskan kepada Melayu Bumiputera.

“Dengan adanya Mahathir dan rakannya Lim Kit Siang maka kita amat ragu-ragu dan kita yakin bahawa Mahathir tidak akan dapat tegakkan apa yang BN tegakkan kini iaitu agenda Islam dan Bumiputera,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Rancangan Memajukan Kelantan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa, dan Industri, hari ini.

Hadir sama Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) Kebangsaan, Datuk Faizal Daud.

Tambah Mustapa, PRU-14 adalah penentu kepada perancangan lima tahun akan datang.

Justeru itu, sekiranya PH menerajui Putrajaya, peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi platform dalam membantu anak-anak Melayu dan Bumiputera akan tergugat.

“Ini penentu bagi hala tuju negara. Kalau kita ingin melihat Bumiputera mempunyai masa depan yang cerah, kalau kita ingin melihat bangunan Mara dan UiTM terus menjadi tonggak kita, maka jika Mahathir menerajui negara kita, belum pasti siapa yang akan jadi Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Rektor dan Naib Canselor UiTM.

“Ini bukan andaian dan cerita rekaan tapi kalau model negara kita berasaskan kepada Islam dan Melayu, pada yang masa yang sama kita adil kepada bangsa dan agama lain. Tapi kita kongsi kuasa dimana mereka percaya bahawa Islam dan Melayu itu teras kepada pegangan kita,” ujar Ahli Parlimen Jeli itu dihadapan lebih 1,000 mahasiswa kelahiran Kelantan hari ini.

Oleh itu, Mustapa menasihatkan agar rakyat memilih individu yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan menolak usaha untuk memecahbelahkan masyarakat.

“Kita mahu Najib bukan kerana orangnya, tapi prinsip perjuangan dan apa yang dibuat kepada mahasiswa dan negara kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.