PUTRAJAYA – Selepas tujuh tahun bersama stesen radio Sinar FM, penyampai Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah kini menjadi ahli keluarga baru Suria FM.
Bakal ke udara pertama kali esok, Cik Piah diberi tanggungjawab mengendalikan segmen Gaya Suria pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 10 hingga 1 petang.
Slot Gaya Suria ini mengambil alih slot Menu Suria kelolaan Brian sebelum ini yang tidak lagi menyambung kontrak bersama Suria FM.
Cik Piah berkata, segmen Gaya Suria akan membawakan perkongsian mengenai tips kekeluargaan, kesihatan, kewanitaan serta informasi dunia hiburan terkini.
Jelasnya melalui segmen ini juga, dia akan membincangkan topik-topik hangat mingguan bersama pendengar dan mencari tempat makan tengah hari cadangan daripada pendengar setia Suria.
“Walaupun ke udara berseorangan, ini bukan masalah besar buat saya. Malah keputusan memasuki Suria FM adalah secara kebetulan selepas kontrak saya berakhir bulan lalu.
“Saya ingin berubah angin keluar daripada zon selesanya setelah hampir tujuh tahun berada di tempat yang sama sebelum ini dan menyahut cabaran ke udara seorang diri.
“Saya bukan sahaja membawa nama Cik Piah ke SuriaFM malah menarik sama pendengar-pendengar dan peminat setia saya untuk mendengarkan Suria FM.
“Sudah pasti saya mengharapkan yang terbaik melalui perubahan ini dan saya akan berusaha sehabis baik untuk mencapai matlamat saya dan juga Suria FM,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Suria FM di IOI City Mall di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Program Suria yang popular dengan panggilan DJ Lin yakin pengalaman Cik Piah sebagai penyampai radio selama tujuh tahun dan diharapkan dengan kehadiran Cik Piah ini dapat memantapkan lagi barisan penyampai Suria dan kandungan program.
Tambah DJ Lin, kehadiran Cik Piah boleh dilihat sebagai saingan yang positif kepada stesen-stesen radio lain di Malaysia dan membawa jenama Suria ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya sudah lama memantau perkembangan Cik Piah dab kelebihannya memiliki lebih 400,000 pengikut di laman sosial Instagram miliknya serta sentiasa aktif berinteraksi bersama mereka.
“Pada masa sama, pendengar setia Cik Piah yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang tentunya bersesuaian dengan sasaran pendengar Suria yang berusia seawal 20-an hingga awal 40-an.”
“Seiring dengan pemantapan dari segi barisan penyampai, kandungan program dan lagu-lagu, Suria juga akan berusaha untuk memberikan pengisian-pengisian terbaru yang lebih segar dan menghiburkan kepada pendengar melalui radio mahupun digital,” katanya.
Sementara itu, Jelajah Suria yang membawakan objektif tanda terima kasih kepada pendengarnya menampilkan penyampai-penyampai radio Suria seperti, Sharifah Shahira, Zulin Aziz, Fizi Ali, DJ Lin, Brian, Bob Ringgo, Suraya,Tyzo termasuk Cik Piah.
Bagi memeriahkan suasana, artis jemputan seperti Syamel, Elyana, Lan Solo, Ismail Izzani, Aziz Harun dan Nizam Laksama menyampaikan beberapa buah lagu hits.
Bukan sahaja dapat bertentang mata dengan penyampai dan artis kegemaran, penonton juga menyertai pelbagai permainan pentas yang disediakan dan memenangi wang tunai, barangan eksklusif Suria serta hadiah misteri.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkenaan Suria di laman web Suria dan juga laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter SuriaFMMalaysia. – MalaysiaGazette