KUALA TERENGGANU – ‘Kuasa’ media diakui antara faktor kejayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam memperkasakan pusat pengajian itu pada kelas tersendiri hingga ke peringkat dunia.
Naib Canselor UMT Prof Datuk Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT adalah penyumbang pemindahan ilmu dan media pula bertindak sebagai ejen yang menyebarkannya kepada komuniti.
“Misi kita mungkin berbeza, namun anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa.
Sepanjang tahun lepas, sejumlah 794 liputan media di akhbar utama edisi timur dan nasional dengan nilai (Perhubungan Awam) RM16.8 juta telah memberi kesan langsung dalam pemerkasaan citra UMT,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media 2018 di sini, malam tadi.
Nor Aieni berkata, pihaknya juga tidak menafikan bahawa media telah memainkan peranan besar dalam meningkatkan publisiti sejak awal penubuhan pada 2001 serta mewawarkan evolusi daripada citra tempatan, kebangsaan hingga global.
UMT yang terletak di Mengabang Telipot, Kuala Nerus telah banyak menghasilkan kajian tentang sumber alam semulajadi, ilmu kelautan dan sumber akuatik.
Selain itu, bagi melonjakkan lagi nama UMT, pada majlis tersebut Nor Aieni telah melancarkan aplikasi ‘UMTsohor’ yang boleh dimuat turun daripada google playstore dan apple store.
“Kami mengambil inisiatif dengan menjenamakan #UMTsohor. Ia merupakan panduan interaktif bagi pelawat dan bakal pelawat UMT yang akan bertemu ke UMT,” katanya.
Pada majlis yang sama, UMT turut memberi anugerah ‘Citizen Scientist’ pertama kepada Tengku Azam Tengku Mat daripada Setiu yang merupakan seorang daripada peserta projek penyelidikan.
“Daripada seorang yang tidak tahu apa itu bakau sedekad lalu, beliau sekarang menjadi pakar tentang penyemaian benih bakau, termasuk spesies terancam seperti berus mata buaya (brugueira hainesii). Beliau juga arif tentang kepelbagaian biologi seperti ahli sains biologi pemuliharaan,” katanya.
Sementara itu, bagi meraikan pengamal media, UMT telah menganjurkan Anugerah Gerbang Pena yang turut menyaksikan Bernama terpilih dalam kategori siaran berita dalam talian tertinggi.
Beberapa wakil media lain turut memenangi pelbagai kategori termasuk berita TV terbaik, berita media cetak dan sosial setelah pihak UMT membuat pemilihan menerusi 794 berita yang disiarkan dalam media cetak dan media sosial. – MalaysiaGazette