Home Nasional Terowong bawah laut Bagan Datuk-Sumatera dalam perbincangan – TPM

Terowong bawah laut Bagan Datuk-Sumatera dalam perbincangan – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada Program Aspirasi TN50 @Bagan Datuk di MAEPS Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2018.

SERDANG – Malaysia dan Indonesia sedang berbincang mengenai cadangan pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Sumatera.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara asasnya sudah dipersetujui.

Kata Timbalan Perdana Menteri, beliau sendiri sudah membincangkan cadangan tersebut dengan pemerintah di Indonesia dan perancangan asalnya akan menjadikannya penghubung laluan yang bermula dari Pulau Bali yang mana sudah ada jambatan dibina bersambung ke Pulau Jawa dan ke Sumatera.

“Saya telah membincangkan dengan pemerintah Indonesia untuk membina jambatan bawah laut terowong dari Bagan Datuk ke Sumatera, kerana perancangan keseluruhannya ialah dari Pulau Bali, mereka telah membina jambatan ke Pulau Jawa, dari Pulau Jawa akan dibina jambatan ke Sumatera.

“Itu telah ada dan sudah pun diluluskan, dari Sumatera ke Semenanjung melalui Bagan Datuk,” kata beliau semasa program dialog TN50@BaganDatuk yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pagi tadi.

Jelas beliau, apabila siap pembinaan Lebuhraya Pantai Barat yang menyambung dari Taiping ke Banting menerusi Bagan Datuk, pembinaan terowong bawah laut tersebut akan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut di samping merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

“Ertinya apa kita akan perolehi, kita akan dapat menarik pelancong daripada Indonesia ke Malaysia… ini telah dimulakan di peringkat kita,” katanya.

Ketika ini, beberapa proses perlu dilalui sebelum rancangan tersebut menjadi kenyataan, khususnya melibatkan kerjasama dengan negara anggota ASEAN yang mana beberapa proses rundingan lanjut perlu dilakukan.

“Dari segi fizikal, perancangan fizikal, ia mendapat kelulusan dasar, namun kita mengajukan kepada EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar), oleh kerana ia melibatkan kerjasama anggota negara ASEAN.

“Ia masih memerlukan beberapa tatacara yang diikuti bukan sahaja dalam hubungan diplomatik dan protokol, malah kita mahu supaya pelabur yang datang dari luar mendapat persetujuan dari kerajaan negeri Perak dan kelulusan sepenuhnya kerajaan Malaysia dan daripada pemerintah Indonesia dan gabenor beberapa wilayah di Sumatera.

“Ia telah dilakukan beberapa pihak luar pentadbiran negeri dan juga pusat, oleh sebab demikian ia adalah inisiatif persendirian kerana kita serahkan kepada pihak swasta untuk dapatkan kelulusan selain kelulusan kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Menurut Zahid, kos pembinaan terowong tersebut dijangkakan melebihi RM20 bilion. – MalaysiaGazette