KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ahli perniagaan kontorversi, Jho Low tidak mengisytiharkan cukai mereka kepada kerajaan.
Bercakap di Dewan Rakyat, Johari berkata, malah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak mempunyai rekod terhadap Jho Low.
“Mengikut kita punya fail cukai, takdalah (nama Jho Low). Nama-nama ini tak ada sebab mereka tak declare (isytihar) mereka punya income (pendapatan) kat dalam negara kita,” jawab Johari diatas pertanyaan Lim Lip Eng (Segambut-DAP).
Mengulas lanjut, Johari berkata, sekiranya Jho Low mengisytiharkan cukainya, maka kerajaan akan bertindak mengenakan cukai perniagaan terhadapnya sebagaimana ahli perniagaan lain.
“LHDN tidak kira siapa, selagi ada pendapatan di Malaysia, syarikat berdaftar di sini dan ada pendapatan. Kalau tidak bayar, LHDN akan kejar anda.
“Kalau tidak dapat hari ini, mungkin esok, kalau tidak esok, hari berikutnya. Kalau tidak tahun ini, tahun depan,” katanya lagi.
Ahli perniagaan berusia 30-an berasal dari Pulau Pinang, dikatakan menjadi dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -MalaysiaGazette.