
MANILA – Biro Pelindungan Kebakaran (BFP) Filipina mengesahkan jumlah kematian akibat kebakaran sebuah hotel di sini meningkat kepada lima orang.
Kesemua mangsa adalah pekerja di hotel kasino.
Menurut BFP, mereka masih belum dapat mengesahkan laporan yang mengatakan seorang mangsa yang dibawa ke hospital telah meninggal dunia.
Sekitar 300 tetamu dan lebih 70 kakitangan hotel berjaya diselamatkan dalam kebakaran yang membinasakan beberapa tingkat Hotel Manila Pavillion Hotel and Casino, semalam.
“Operasi hotel digantung sementara sehingga kebenaran daripada agensi-agensi kerajaan diperoleh,” kata Acesite dalam kenyataannya di Bursa Filipina hari ini.
Acesite (Phils) Hotel Corp., anak syarikat Waterfront Philippines Inc. adalah pemilik dan pengendali hotel berkenaan.
Tambah syarikat tersebut, ia masih menantikan laporan akhir BFP berhubung punca sebenar kebakaran.
Menurut pasukan bomba, beberapa tingkat bangunan hotel yang mempunyai 509 bilik itu telah musnah namun siasatan lengkap masih belum dikemukakan.- MalaysiaGazette