Home Utama Klinik rawatan Hepatitis C mula beroperasi

Klinik rawatan Hepatitis C mula beroperasi

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam melawat pusat rawatan Hepatitis C di Hospital Selayang, Kuala Lumpur hari ini. Sumber: Facebook Ketua Pengarah Kesihatan

KUAL LUMPUR- Program rawatan kepada pesakit-pesakit Hepatitis C telah dilaksanakan di 18 hospital kerajaan terpilih bermula bulan ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit-pesakit boleh menerima rawatan kuratif pada kadar mampu milik, yang mana pesakit bersesuaian ditentukan oleh pakar perubatan berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

“Kerajaan berharap dengan bermulanya rawatan untuk penyakit Hepatitis C ini ia dapat memberi sinar baru kepada pesakit-pesakit Hepatitis C di Malaysia.

“Ini selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi Hepatitis yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan sasaran Strategi Sektor Kesihatan Global bagi Jangkitan Virus Hepatitis (2016-2021) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menghapuskan jangkitan virus hepatitis menjelang tahun 2030,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, menerusi usaha tersebut lebih ramai pesakit Hepatitis C dapat dirawat dengan kos yang lebih rendah.

Jelasnya, rawatan penyakit Hepatitis C menggunakan tablet Sofosbubir 400mg sebagai rejim utama ditambah dengan kombinasi Direct Acting Antiviral (DAA) dijangka dapat menyembuhkan penyakit tersebut dalam tempoh dua minggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam melawat salah sebuah pusat rawatan Hepatitis C di Hospital Selayang tengahari tadi dan meluangkan masa berbual dengan para pesakit yang bersyukur dengan inisiatif tersebut.-MalaysiaGazette