JOHOR BAHRU – Pusat rekreasi Hutan Lipur Gunung Berlumut, Kluang ditutup mulai hari ini berikutan terdapat laporan dua kanak-kanak dijangkiti virus kencing tikus setelah mengunjungi kawasan berkenaan pada 16 Februari lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja penyiasatan dilakukan pihak terlibat termasuk mendapatkan keputusan sampel air di pusat rekreasi berkenaan.
Katanya, buat masa ini, beberapa tindakan telah dan akan diambil termasuk mengadakan gotong-royong bagi membersih kawasan terbabit selain memasang perangkap tikus untuk mengesan leptospira.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri juga telah memasang papan tanda amaran kesihatan di pintu masuk kawasan bagi menerangkan risiko kesihatan kepada para pengunjung. – MalaysiaGazette