Home Politik Wang bukan faktor kemenangan BN – Zahid Hamidi

Wang bukan faktor kemenangan BN – Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Darul Ulum, Sungai Buloh, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MAC 2018.

SUNGAI BULOH – Kepimpinan dan jentera Barisan Nasional (BN) tidak boleh bergantung kepada faktor kewangan untuk berjuang memenangkan parti, sebaliknya semangat menebus maruah akibat kekalahan lalu perlu dijadikan keutamaaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, sekiranya jentera parti diberikan peruntukan, sewajarnya mereka perlu bekerja dengan lebih kuat bagi merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen khsusnya di Selangor.

“Wang bukan faktor utama kita untuk bergerak (berjuang), sebaliknya semangat untuk menebus maruah dan kekalahan adalah keutamaan parti kita.

“Kalau diberi peruntukan, kita kerja lebih kuat, dengar tu Tan Sri Noh, jangan buat tak tahu saja,” katanya berucap merasmikan Majlis Kenduri Rakyat di Matang Pagar, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Paya Jaras selaku Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma.

Ahmad Zahid berkata, laporan persempadanan semula DUN dan Parlimen yang bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini berpotensi akan dimenangi BN pada PRU14.

“Tan Sri Noh telah melaporkan kepada pengurusan parti, insya-Allah beberapa DUN yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Parlimen, jika tidak ditambah pun kita akan melihat potensi yang cukup besar bagi kita merampas DUN dan Parlimen kalah,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah masalah dalaman yang wujud dalam parti komponen BN perlu diselesaikan dan jentera perlu bekerja di bawah satu bendera.

“Kita akan merampas kerusi DUN dan kita akan dapat kerusi Parlimen yang kalah dan kita akan menambahkan jumlah undi bagi kerusi-kerusi yang kita kuasai selama ini

“Bukan setakat sorak-sorai, tepukan gemuruh, yang lebih penting ialah menterjemahkan sokongan itu dalam bentuk sokongan di kertas undi pada hari mengundi nanti itu lebih penting,” katanya. – MalaysiaGazette