CHERAS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada individu dan blok tertentu yang cuba membuat kucar-kacir selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
Berdasarkan kepada maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Zahid berkata, pihaknya kini meneliti sumber dan maklumat yang diperoleh itu.
“Saya tahu ada pihak yang akan lakukan kejutan minit terakhir. Kami telah kenalbpasti individu yang akan melakukannya dan kami telah kenal blok mana yang akan buat provokasi sedemikian.
“Saya tahu. Kami tahu individu yang mahu lakukan. Ini bukan amaran, ini bukan amaran, ini bukan amaran.
“Tindakan pasti akan sampai jika individu dan organisasi yang buat kejutan minit terakhir semasa PRU14,” katanya dalam ucapan sempena Program Turun Padang bersama warga PDRM di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Haron, Timbalan Menteri KDN, Dark Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberikan amaran kepada mana-mana parti politik agar tidak mencetuskan kontroversi dan gangguan yang boleh mencetuskan rasa tidak selesa rakyat.
“Saya beri amaran kepada parti politik, jangan lakukan provokasi kepada polis. Jangan cuba wujudkan sebarang kekecohan di mana-mana lokasi.
“Pihak polis mengenali individu yang dikesan dan ada senarai serta tahu hotspot dan kenal pasti di manakah lokasi-lokasi mengejut,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan (PDRM) agar tidak melakukan kekerasan sepanjang melaksanakan tugas semasa PRU nanti.
PDRM diminta berlaku adil terhadap semua rakyat agar isu keselamatan dan keharmonian tidak diganggu-gugat.
“Kita harap PRU14 ini yang paling aman dan tertib, tidak ada masalah kalau semua pihak kerjasama,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.