KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan tindakan pihak tertentu yang memasang kain pemidang untuk tujuan sabotajnya sebagai kelaziman dalam arena politik.
Sama sekali tidak terkejut dengan tindakan itu, sebaliknya Johari yakin sokongan pengundi terhadapnya tetap utuh.
“Pada pilihan raya lalu, ada pihak edarkan video ‘cut dan paste’ mengatakan saya tidak mahu undi daripada pengundi Cina dan India, antaranya perbuatan orang dalaman juga.
“Tetapi akhirnya pengundi masih percaya pada saya kerana pengundi tidak boleh ditipu. Mereka lebih tahu dan boleh menilai pemimpin,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Terbaru, tular di laman sosial gambar kain pemidang tertera ‘Say No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ di Chow Kit dan Keramat.
Jelas Menteri Kewangan II itu lagi, pengundi di Parlimen Titiwangsa bijak menilai kerana terdiri daripada golongan yang berpendidikan.
“Kalau pemimpin datang setakat nak pilihan raya, saya rasa ini bukan politik 30, 40 tahun dulu. Hari ini kita mempunyai pengundi berpendidikan tinggi, boleh menilai orang.
“Perkara ini (memburukkan ahli politik) bukan satu masalah, ia biasa berlaku dalam politik. Jika kita mahu berada dalam politik, ini perkara yang perlu dihadapi,” katanya.-MalaysiaGazette