RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmud Abbas secara terbuka menuduh Hamas bertanggungjawab dalam serangan bom ke atas Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah di Gaza minggu lepas.
Tuduhan itu sekaligus mengancam hubungan antara dua kumpulan berpengaruh di wilayah yang hebat bergolak ketika ini.
Menurut portal berita Al Jazeera, Mahmud Abbas sebelum ini menuduh Hamas sebagai ‘dalang’ pengeboman itu kerana mengawal keselamatan di daerah Palestin.
Bercakap kepada pemimpin Palestin di Tebing Barat petang semalam, Abbas berkata, sekiranya serangan itu berjaya,ia akan membuka jalan perang saudara berdarah.
“Inisiden ini tidak boleh dibiarkan dan saya akan mengambil tindakan melalui perundangan dan kewangan,” tegasnya tanpa memberi penjelasan lain.
Pada insiden 7 Mac lepas, seramai tujuh orang cedera dalam insiden letupan yang berlaku ketika konvoi Rami Hamdallah memasuki sempadan Gaza.
Sumber keselamatan dalam konvoi tersebut berkata, Rami terselamat dan tidak mengalami kecederaan dalam letupan yang berlaku sejurus selepas konvoinya memasuki wilayah Hamas dalam satu lawatan luar biasa pada hari itu.
Hamas bagaimanapun menafikan penglibatan mereka dalam letupan itu, selain mendakwa akan melancarkan siasatan dan akan membawa dalang ke muka pengadilan.
Ketua Keselamatan Hamas, Tawfiq Abu Naim diberikan tanggungjawab mengetuai siasatan itu.
Hubungan kumpulan Islam dan parti Fatah pimpinan Abbas sentiasa dalam keadaan tegang sejak 2007 apabila Hamas berjaya mengawal Gaza.
Abbas mengawal kerajaan Palestin yang diiktiraf masyarakat antarabangsa berpangkalan di Tebing Barat yang diterajui Hamdallah.
Abbas sebelum ini sudah mengambil beberapa tindakan keras termasuklah mengurangkan elektrik kepada dua juta penduduk Gaza sekaligus mendapat kriitkan antrabangsa kerana mahu menghukum Hamas.
Oktober lalu, Hamas dan Fatah bersetuju untuk perjanjan damai tetapi tidak berjaya dilaksanakan. – Malaysia Gazette