KUALA LUMPUR – Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah kini mampu mengesan gempa bumi bermagnitud serendah 1.0 skala richter setelah ditambah baik dalam usaha mengesan kejadian gempa bumi lebih cekap, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sebanyak 15 lagi stesen seismik ditambah kepada komponen pengumpulan data dan maklumat pusat berkenaan baru-baru ini dengan kos sebanyak RM12.1 juta.
“Penambahan stesen ini menjadikan keseluruhan stesyen seismik di Sabah sebanyak 28 stesen,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang ingin tahu inisiatif dilakukan kerajaan dalam menambah baik sistem pengesanan gempa bumi dan tsunami negeri Sabah.
Sabah pada bulan ini mencatatkan tiga gempa bumi di Ranau dalam tempoh seminggu dengan magnitud tertinggi direkodkan pada 5.2 pada skala richter, 8 Mac lepas, diikuti masing-masing 3.1 pada skala richter sehari berikutnya dan pada 11 Mac. – MalaysiaGazette