KUALA LUMPUR – Pelakon Serina Redzuawan mendedahkan bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, melanggar perintah mahkamah apabila menghalangnya daripada berjumpa anak-anak mereka.
Menerusi akaun media Facebook dan Instagram miliknya, Serina berkata, Salahudin kini cuba membuli dan menyeksa emosinya sebagai seorang ibu.
Serina sebelum ini dibenarkan berjumpa anak-anak, Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5, setiap hari bagi menguruskan persekolahan mereka.
“Hari ini saya akan beritahu apa yang sebenarnya berlaku. Selama ini saya pendam dan tanggung kesedihan. Saya sedang melalui dugaan yang perit kerana bekas suami cuba membuli dan menyeksa emosi saya sebagai seorang ibu.
“Gavin dengan sengaja juga pisahkan kasih sayang saya dan anak-anak. Sebelum ini saya boleh jumpa mereka setiap hari tetapi sekarang dia hanya benarkan jumpa hujung minggu sahaja. Pelbagai alasan yang dia berikan sehingga saya tidak berpeluang untuk meluangkan masa bersama mereka,” tulisnya.
Menurut Serina, bekas suaminya juga didakwa `berkhalwat’ ketika berada di rumah bersama anak-anak mereka.
“Selama ini saya bersabar. Saya risaukan akidah anak-anak terjejas. Doakan saya akan ambil semula hak jagaan mereka.
“Biarlah mahkamah yang tentukan segalanya. Saya hanya nak pembelaan sebagai seorang ibu. Tidak terniat nak pisahkan kasih sayang ayah dan anak-anak,” tulisnya.
Sementara itu menerusi Instagram bapa Serina, @_chefwan58, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan hak penjagaan cucunya.
Menurut Cef Wan dengan panjang lebar, apa yang dilakukan bekas menantunya itu amat melampau kerana sanggup membelakangkan perintah mahkamah dan tidak membenarkan Serina berjumpa dengan cucunya.
“Saya dah lama bersabar untuk tidak tentang hal ini. Tetapi dia (menantu) dah melampau kerana membuli anak saya. Malah, saya juga dihalang untuk bertemu dengan cucu hanya kerana saya bercakap benar.
“Selama ini saya sangat bersabar. Tak nak malukan dan nak jaga maruah dia. Tetapi dia seorang lelaki yang tidak kenal mengenang budi sejak dari hari pertama dia berjumpa dengan saya di ruang tamu rumah untuk melamar Serina.
“Walaupun selepas pendedahan ini dibuat dan dia mahu membawa kes ini ke mahkamah dan kena masuk penjara pun saya sanggup keraan menegakkan kebenaran,” tulis Chef Wan meluahkan rasa hati ke atas bekas menantunya itu. – MalaysiaGazette