Home Ekonomi Airbnb bekerjasama dengan Malaysia kutip cukai

Airbnb bekerjasama dengan Malaysia kutip cukai

HO CHI MINH CITY – Airbnb Inc. bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam kutipan cukai dengan memberi fokus kepada levi pelancangan sejajar dengan usaha kerajaan untuk mempersiapkan diri menghadapi perubahan ekonomi digital yang lebih meluas.

Syarikat perkongsian rumah berpangkalan di San Francisco itu sedang memuktamadkan perjanjian dengan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) yang akan mengenakan cukai pelancongan baharu sebanyak RM10 semalam kepada ahli-ahli Airbnb yang menyewa lima bilik atau lebih.

“Kami telah berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia dalam satu perbincangan yang bermakna dan produktif.

“Kami mahu membantu tetamu-tetamu kami mematuhi undang-undang dan kami secara aktif sentiasa memaklumkan semua perkembangan terkini regulatori,” kata Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, Mich Goh kepada Bloomberg Tax.

Selepas bercakap dengan pegawai-pegawai cukai, rakan kongsi EY untuk cukai tidak langsung, Aaron Bromlet berkata, beliau menjangkakan Malaysia akan meluaskan skop GST termasuk melibatkan Airbnb seawal tahun depan.

Malaysia merupakan salah sebuah pasaran terpantas Airbnb di Asia dengan sewaan melonjak 137 peratus tahun lepas, kata syarikat tersebut.

Menurut Aaron, Australia merupakan antara negara terawal yang mewajibkan pembayaran GST kepada perniagaan dalam talian.

“Malaysia tidak jauh ketinggalan di belakang dan mereka sedang berbincang mengenainya.

“Terdapat satu fokus besar pada perkhidmatan digital ketika ini, sama seperti negara-negara lain,” katanya.

Malaysia ketika ini sedang mempertimbang untuk mengenakan cukai kepada syarikat-syarikat dalam talian seperti Netflix, Uber dan Facebook.-MalaysiaGazette