PARIS – Perancis akan melaksanakan tindakan tegas ke atas keganasan seksual termasuk mengenakan denda serta-merta bagi kesalahan gangguan di jalanan dan melanjutkan fail aduan rogol.
Presiden Emmanuel Macron berkata, rang undang-undang itu diwujudkan untuk memastikan wanita tidak takut berada di luar.
Di bawah rang undang-undang itu, mangsa-mangsa rogol bawah umur diberi tempoh sehingga usia 48 tahun untuk membuat aduan.
Ini bermakna mangsa rogol diberi masa sehingga 30 tahun selepas berusia 18 tahun, bermakna 20 tahun dari sekarang.
Undang-undang turut menetapkan usia 15 tahun ke bawah, akan dianggap tidak bersetuju untuk melakukan hubungan seks dengan seseorang berusia 18 tahun atau lebih.
Persetujuan usia ini akan memudahkan pendakwaan rogol, kata Menteri Kesetaraan Gender, Marlene Schiappa.
Bersama-sama denganpersetujuan usia itu, salah satu aspek yang paling menarik dalam rang undang-undang yang telah dibahas secara terbuka selama beberapa bulan lalu ialah menghukum kesalahan seksual di jalanan.
Schiappa berkata, denda yang akan dibayar di tempat kejadian oleh pesalah berjumlah antara 90 euro hingga 750 euro (AS$ 110 hingga AS$920). Denda boleh dikenakan lebih tinggi untuk pesalah berulang atau dalam keadaan yang lebih teruk.
“Ideanya ini untuk memastikan pelaksanaan undang-undang bagi kesalahan jenayah ini lebih efisien,” kata Schiappa dalam sesi Facebook Live.
Schiappa berkata, gangguan seksual di jalanan juga termasuk dalam situasi jika individu meminta nombor telefon seorang wanita berkali-kali selepas wanita itu enggan memberinya.
Rang undang-undang itu juga akan memperkenakan tindakan lebih keras ke atas gangguan seksual atas talian. – MalaysiaGazette