KUALA LUMPUR – Firma penyelidikan antarabangsa, BMI Research menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) beropotensi memudaratkan ekonomi.
Firma itu dipetik sebagai berkata bahawa kebanyakan janji yng ditawarkan gabungan tersebut berbentuk populis dan tidak realistik, yang hanya berdasarkan rungutan orang ramai terhadap kerajaan.
“Mengambil kira cukai barang dan perkhidmatan (GST) menyumbang kepada 17 peratus pendapatan kerajaan dan berkembang daripada 13.7 peratus pada suku kedua 2015, penghapusan GST boleh menyebabkan kemerosotan kepada perolehan negara,” katanya.
Jelasnya, tindakan mahu meningkatkan bayaran subsidi bakal memberikan tekanan tambahan dengan pecahan subsidi menurun kepada 5.3 peratus daripada keseluruhan suku ketiga tahun lalu berbanding 16.8 peratus pada suku kedua 2010, sebahagian daripada usaha rasionalisasi subsidi diperkenalkan kerajaan bermula 2010.
“Sektor perniagaan tidak akan menerima janji pada manifesto itu terutama terdapat syarikat kecil yang terpaksa bergelut dengan pelaksanaan gaji minimum yang mahu ditingkatkan jumlahnya oleh pakatan pembangkang,” katanya.
BMI Research menambah bahawa hubungan di antara Malaysia dengan China juga bakal terjejas jika gabungan pembangkang menyemak semula kontrak bagi projek infrastruktur berskala besar.
“Jika siasatan terperinci berhubung projek mega dibiayai dana asing dilakukan, ia bukan saja menyebabkan ketegangan dengan China, malah masyarakat Cina yang menyokong DAP selama ini akan berasa terpinggir kerana mereka juga berpihak kepada Beijing,” katanya. – MalaysiaGazette