KUALA LUMPUR – Para pesara kerajaan diseru supaya sentiasa mendukung aspirasi kerajaan yang selama ini membela nasib dan masa depan rakyat.
Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun sudah berkhidmat cemerlang kepada kerajaan selama ini, sumbangan kerajaan yang membela nasib setiap pesara sepanjang tempoh perkhidmatan juga tidak harus dilupakan.
“Pilihan Raya Umum sudah mahu dekat, saya tahu anda semua menyumbang kepada kerajaan dengan cemerlang, tetapi pada masa yang sama janganlah lupakan apa yang kerajaan lakukan untuk kita selama ini.
“Sejak bertahun lama dari mula berkhidmat hingga ke tua, anda berjaya menguruskan segala tanggungjawab kepada keluarga dengan bantuan kerajaan.
“Sesetengah orang sudah melupakannya jasa kerajaan selama ini, tapi kita perlu ada moral dan integriti untuk menghargainya, jangan jadi insan yang tidak terhutang budi, kita sokong dan dukung aspirasi kerajaan BN sedia ada.
“Fikirkan masa depan kita dan masyarakat serta membuat pilihan yang bijak dan tepat demi survival kita dengan hak terus terpelihara di bawah kerajaan semasa,” katanya dalam sidang media di ibu negara malam tadi.
Beliau telah hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kakitangan dan Pesara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2018 di sini.
Tambah beliau kini tiba masanya rakyat membuat pilihan antara BN atau Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP untuk memerintah selepas PRU.
Beliau menasihatkan pesara yang menikmati semua ganjaran di bawah kerajaan selama ini tetapi pada akhirnya menentang dengan menyokong DAP.
“Fikirkan apa nasib yang diterima Pas yang pernah berpakat dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum menyedari mereka dipermainkan oleh DAP.
“Tun Mahathir kini bersama DAP, saya memberi jaminan Tun M akan sedar satu hari nanti bahawa partinya juga akan jadi mangsa seperti Pas.
“Walaupun dia fikirkan mampu menguruskan DAP, tetapi sebenarnya susah, dia akan sedar kelak,” tegasnya. – MalaysiaGazette