Home Politik Tun M sentiasa tolak gaji minimum

Tun M sentiasa tolak gaji minimum

Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pendirian Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad kini bercanggah apabila menetapkan gaji minimum.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, semasa menjadi Perdana Menteri Mahathir tidak pernah bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendirian bahawa ia bakal meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan.

“Sebab itu, sepanjang beliau menjadi perdana menteri, seingat saya beliau akan tolak sebarang cadangan untuk menetapkan gaji minima. Ini kerana menurut beliau, jika kita mula menetapkan gaji minima, maka gaji minima itu akan sentiasa naik dan naik, dan ini akan menyebabkan kos menjadi lebih tinggi.

“Sekarang ini pula, apabila beliau bersetuju dengan manifesto Pakatan Harapan untuk meletakkan gaji minima, saya fikir ini satu percubaan populis, sebab semua orang mahu gaji yang tinggi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program diskusi Anda Tanya Kita Jawab membawa tajuk ‘Kenapa Manifesto Pembangkang Ditalkinkan Awal’ anjuran UMNO Online dan Penerangan UMNO Malaysia bertempat di PWTC hari ini.

Annuar dalam masa yang sama turut menyentuh manifesto PH yang mahu membuat penangguhan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ironinya menurut beliau, skim pinjaman itu dilaksanakan semasa pentadbiran Mahathir namun sehingga kini ia diteruskan tanpa mengakibatkan mana-mana penghutangnya dipenjarakan.

“Skim pembiayaan PTPTN ini juga dilaksanakan pada zaman Tun Mahathir juga. Ketika itu pelajar yang masuk universiti sudah ramai. Jadi kalau masih guna skim biasiswa, ada yang dapat dan ada yang tak dapat. Jadi kerajaan memutuskan untuk mewujudkan skim PTPTN yang mana ia boleh dipinjam oleh lebih ramai pelajar berbanding skim biasiswa.

“Sepanjang skim PTPTN ini diwujudkan, saya tak nampak seorang pelajar di negara ini dipenjarakan kerana tak bayar balik wang pinjaman PTPTN itu. Malah mana-mana pelajar yang cemerlang, pinjaman PTPTN mereka itu ditukar kepada biasiswa.

“Contohnya macam pinjaman pelajaran Mara. Namanya pinjaman, tapi bila habis belajar, tulis surat sekeping minta pengecualian. Ada yang sampai 80 peratus pinjaman dikecualikan, tinggal 20 peratus pinjaman. Baki 20 peratus itu pula boleh dibayar hingga tempoh 25 tahun. Ada yang hanya bayar RM 50 sebulan saja,” jelasnya.- MalaysiaGazette