Home Politik Penggulungan ringkas Devamany gamatkan Parlimen

Penggulungan ringkas Devamany gamatkan Parlimen

SK Devamany

KUALA LUMPUR – Perkembangan semasa perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan masyarakat India akan dimaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat pada pertengahan tahun 2018.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S.K.Devamany berkata, proses pengimplimentasian pelan induk bertempoh 10 tahun itu sedang dalam pelaksanaan pihak kerajaan.

“Pelan induk yang dirancang sudah ada dan proses pengimplimentasian sedang berjalan dan kita tunggu sehingga pertengahan 2018 untuk membincangkan segala yang dilaksanakan serta perkembangannya setakat itu,” katanya semasa sesi penggulungan usul Junjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat petang tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP) M.Kulasegaran yang meminta kerajaan menyediakan kertas putih pelan induk pembangunan India untuk debat di Parlimen .

Malah Kulasegeran turut meminta kerajaan menyediakan skim perumahan untuk kaum India miskin dan langkah kearah usaha itu.

Namun Kulasegaran tidak hadir dalam sidang hari ini menyebabkan Devamany mengambil pendekatan menjawab ringkas kedua-dua soalan yang dikemukakan.

Devamany bersetuju satu dasar dan skim pinjaman perumahan dibawa untuk golongan miskin India.

“Untuk maklumaan, sudah ada pelbagai rancangan yang sudah dilakanakan untuk pekerja India di estet dan di wilayah Persekutuan untuk menangani kemiskinan,” katanya.

Penggulungan Devamany yang hanya bertempoh dua minit itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat India di Parlimen dan beberapa daripada mereka bangun mempersoalkan tindakan Devamany.

Ahli Parlimen Kapar, G.Manivannan (PKR) mendakwa beliau telah menyertai persidangan hari ini sejak pagi dan kecewa terpaksa mendengar jawapan selama dua minit sahaja daripada timbalan menteri itu.

“Yang Berhormat, saya nak tanya soalan tetapi yang berhormat timbalan menteri (Devamany) jawab standard dua minit sahaja, kenapa tak diberi ruang bertanya soalan tambahan,” keluhnya.

Malah turut meluahkan kekecewaan ialah Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar (DAP)  an Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (DAP) yang meminta BN supaya melantik menteri menjawab soalan.

Devamany lantas bangun dan menerangkan jawapan ringkas dibuat memandangkan Kulasegeran tidak hadir ke sidang hari ini.

“Yang berhormat, mana pergi YB Ipoh Barat yang sepatutnya hadir, takda di tempat duduk beliau?” soal Devamany sambil menunjukkan ke arah tempat duduk Kulasegaran yang kosong.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said menangguhkan dewan yang akan bersambung semula pada Isnin selepas penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan.- MalaysiaGazette