Home Politik Cukup-cukuplah Ramasamy bantu Guan Eng putar belit fakta – Ka Siong

Cukup-cukuplah Ramasamy bantu Guan Eng putar belit fakta – Ka Siong

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy diberi kata dua agar menyediakan fakta serta bukti kukuh sekiranya mahu mempertahankan ketuanya, Lim Guan Eng.

Ramasamy sejak akhir-akhir ini dilihat begitu cepat dan ‘tangkas’ dalam membela setiap kenyataan Guan Eng berhubung isu terowong bawah laut negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kenyataan diberikan Ramasamy berhubung penjelasan dibuat Ka Siong mengenai kos pembinaan terowong berkenaan jelas tidak boleh diterima akal.

Kata Ka Siong, penjelasan terperinci mengenai projek terowong itu yang membabitkan huraian mengenai beberapa kos telah diputar belit pemimpin kanan Pulau Pinang itu hingga menimbulkan persepsi lain.

“Minggu lalu saya telah huraikan bagaimana skandal terowong ini akan mendatangkan kerugian berjumlah RM20.5 bilion sekali gus memberikan impak negatif kepada semua rakyat.

“Dalam penerangan itu, segala kos bersabit projek ini telah saya pecahkan dengan cukup jelas, termasuk tindakan ‘pelik’ kerajaan negeri ketika menandatangani kontrak pada tahun 2013 yang antara lain, mensyaratkan bahawa pembinaan itu hanya dimulakan 10 tahun kemudian iaitu pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, penangguhan projek itu akan membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM2.2 bilion pada nilai tanah buat penduduk Pulau Pinang.

“Ramasamy bertegas bahawa kos untuk tanah tepi laut di Persiaran Gurney yang akan digunakan sebagai bayaran hanya bernilai RM475 kaki persegi.

“Beliau juga dengan begitu angkuh berkata kerugian itu bukan satu perkara besar dan kerajaan negeri tidak perlu dipersalahkan atas perkara itu,” katanya.

Ramasamy jelas Ka Siong, perlu bersedia memikul natijah atas semua fakta yang diputar belitkan semata-mata untuk melindungi ketuanya.

“Saya percaya saya boleh menghimpunkan kumpulan pelabur yang berminat untuk membeli tanah bagi tujuan pelaburan pada harga serendah itu dari kerajaan negeri.

“Ramasamy perlu bertanggungjawab atas kenyataan ini dan bersedia memikul akibat selepas berbohong sedemikian rupa,” katanya.

Sebelum ini, Ramasamy juga ‘menegur’ Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari kerana menyoal sejauh mana hubungan Guan Eng dengan ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Gnanaraja ditahan selepas didakwa menerima suapan sebanyak RM19 juta bagi membantu menutup kes rasuah berkaitan terowong dasar laut daripada terus disiasat serta diambil tindakan oleh SPRM.

Dua keping gambar ‘mesra’ antara Guan Eng dan Gnanaraja tular dalam laman sosial selepas penahanan ahli perniagaan itu pada Februari lepas, bagaimanapun dinafikan oleh Guan Eng serta konco-konco DAP dengan menuduhnya sebagai konspirasi jahat kerajaan BN. – MalaysiaGazette