Home Nasional PDRM tangkis fenomena fear of crime dalam masyarakat

PDRM tangkis fenomena fear of crime dalam masyarakat

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun
KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai tanggungjawab besar untuk menangkis fenomena fear of crime (ketakutan dalam jenayah) yang masih menghantui rakyat di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengakui walaupun PDRM berjaya mengurangkan indeks kadar jenayah sejak beberapa tahun ini namun rakyat masih mempunyai ketakutan mengenai isu jenayah sehingga ia terpendam menjadi trauma.
“Kita mesti mengambilkira persepsi jenayah yang menghantui rakyat kita sekarang ini, mereka sebenarnya tahu usaha dan kejayaan polis menurunkan jenayah tetapi ada isu jenayah yang menakutkan mereka.
“Kita sudah melipatgandakan program bersama komuniti bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat malah berupaya meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab umum untuk bekerjasama membanteras jenayah,” katanya pada sidang media bersama timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim selepas sambutan Perbarisan memperingati Hari Polis ke-211 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Padang Pusat Latihan polis (Pulapol) hari ini.
Mohamad Fuzi dalam perkembangan sama berkata, PDRM juga akan menambah kekuatan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) dan skuad Komando VAT 69 untuk memperhebatkan peranan mereka mencegah jenayah berat.
“Dalam ucapan tadi, Perdana Menteri sudah menyatakan keperluan untuk menambah kekuatan anggota kdua-dua pasukan itu dan beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada pertimbangan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.
“Selain itu, kita juga dalam proses untuk menambah baik semua aset polis yang mana 90 peratusnya sudah berusia lebih 10 tahun secara berperingkat dalam masa lima tahun lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette