KUALA LUMPUR – Walaupun mengkritik hebat pembentangan Rang Udang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, seorang wakil rakyat Pas, Datuk Iskandar Samad tampil mengakui dirinya juga tidak terlepas menjadi mangsa berita palsu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka itu berkata, masyarakat perlu berwaspada dengan berita-berita palsu selepas dirinya turut diserang apabila terdapat pihak yang menggunakan wajahnya dan menampal kenyataan yang tidak pernah dikeluarkannya.
“Ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fake news di laman sosial, mereka akan meletakkan wajah saya serta kenyataan yang tidak pernah sebut,” beliau dipetik berkata.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang semakin menjengah tiba, Iskandar tidak menolak akan lebih banyak lagi berita sedemikian yang akan dikeluarkan untuk menyerang ahli politik.
“Rakyat perlu berwaspada, ini nak hampir PRU, mungkin lepas ini ada banyak lagi fake news yang akan wujud,” katanya.
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 hari ini dibacakan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat.
RUU tersebut memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau 10 tahun penjara boleh dikenakan terhadap individu yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar jika disabitkan kesalahan.
Denda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu dikenakan kepada pesalah tersebut jika kesalahan itu dilakukan secara berterusan.
Manakala denda sehingga RM100,000 juga boleh dikenakan terhadap individu atau pihak yang memiliki berita tidak benar dan tidak menghapuskannya.
Mahkamah juga boleh memerintah pesalah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terlibat sama ada di mahkamah ataupun melalui akhbar.
Malah RUU ini tidak hanya terhad kepada rakyat Malaysia, bahkan ia turut terpakai kepada warga asing yang menyebarkan berita tidak benar mengenai negara atau menyentuh rakyat negara ini. – MalaysiaGazette