BARCELONA – Bekas bintang Liverpool, Philippe Coutinho menyeru bekas rakan sepasukannya, Mohamed Salah menyertainya dalam skuad Barcelona, lapor media sepanyol, Don Balon.
Namun setakat ini Salah masih gembira bermain di bawah Jurgen Klopp dan pengurus itu juga mengesahkan penyerang antarabangsa Mesir itu tidak minat dengan tawaran daripada Barcelona seperti didakwa oleh Coutinho.
Pemain Brazil itu meninggalkan Anfield pada januari lepas untuk menyertai Barcelona dengan rekod perpindahan £142 juta dan beliau amat mengagumi prestasi semasa Salah yang sentiasa konsisten menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.
Ketika ini, Salah sudah meledakkan 28 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini dan Liverpool ternyata tidak terjejas sejak ketiadaan Coutinho.
Malah Salah kini turut menjadi buruan satu lagi pasukan gergasi dari Sepanyol iaitu Real Madrid.
Real Madrid bersedia dengan perjanjian €150 juta ditambah dengan Lucas Vazquez untuk pemain Mesir tersebut.
Presiden kelab itu, Florentino Perez dilihat cuba membentuk era baru Galatico di Real Madrid selepas sekian lama Real Madrid tidak berbelanja besar dalam perpindahan pemain.
Bagaimanapun Salah mengakui dia kini selesa bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya gembira bermain dalam Liga Perdana, corak permainannya sesuai dengan cara saya dan saya suka bermain di sini.
“Saya sudah memberitahu sebelum ini, sejak saya berada di Liverpool saya menyukainya dan mahu mempamerkan aksi sebenar di sini.
“Ini impian saya untuk memenangi Liga Perdana, kelab ini sudah lama tidak memenangi sebarang trofi. Sejujurnya saya mahu memenangi trofi bersama Liverpool,” katanya.
Liverpool telah membayar Roma sebanyak 39 juta pound (RM211 juta) untuk membawa Salah menyertai The Reds ketika tempoh perpindahan musim panas lalu. – MalaysiaGazette