KUALA LUMPUR – Tuduhan tidak berasas dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Barisan Nasional (BN) akan membeli calon Pakatan Harapan (PH) sebenarnya mahu menyembunyikan masalah pembahagian kerusi blok pembangkang itu, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menjawab dakwaan Pengerusi PH, Mahathir yang mengatakan pembangkang tidak mengumumkan calon mereka lagi kerana bimbang akan dirasuah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Dia tidak sepatutnya menyalahkan orang lain dengan membuat dakwaan seperti itu kerana apa yang dia cakap itu adalah tidak benar sama sekali,” beliau dipetik berkata.
Beliau juga menyifatkan dakwaan tersebut seolah cuba menyalahkan pihak lain atas kelemahan pembangkang sendiri yang masih lagi bertelagah dalam isu pembahagian kerusi.
“Ini sebuah negara demokrasi dan kalau nak kemuka nama (calon) tiada masalah. Bila nak umum nama, tuduh pula seolah-olah BN nak beli calon mereka. Kenyataannya itu tidak tepat,” ujarnya lagi.
PH sudah mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu PPBM (52), PKR (51) DAP (35) dan Parti Amanah Negara (PAN) (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, PH setakat ini belum membuat pengumuman rasmi calon-calon mereka yang bertanding memandangkan masih terdapat masalah tuntutan kerusi bertindih dalam kalangan parti komponen mereka. – MalaysiaGazette