Home Politik Persempadanan semula: Bersih tidak beretika – PAR

Persempadanan semula: Bersih tidak beretika – PAR

KUALA LUMPUR – Siapa Gerakan Bersih 2.0 dan apa haknya untuk mencabar Tan Sri Pandikar Amin Mulia menarik balik perbahasan laporan Kajian Persempadanan Semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Mac ini.

Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR) berpendapat tindakan Bersih mengarahkan Speaker Dewan Rakyat sebagai tidak beretika dan mencabar institusi Parlimen.

Presidennya, Datuk A. Chandrakumanan berkata, Bersih 2.0 tidak ada kuasa untuk meminta Parlimen menarik perbahasan laporan persempadanan itu pada Rabu ini.

Malah tindakan Bersih memprovokasi rakyat supaya melakukan protes di hadapan pintu masuk Parlimen pada pagi Rabu ini adalah tindakan kurang ajar dan menghina institusi Parlimen negara.

“Pelik bahawa Bersih tidak faham yang mana sebarang tindakan Parlimen tidak boleh dipersoalkan oleh Mahkamah memandangkan Parlimen ialah pengubal dasar negara.

“Malah tuntutan mereka supaya Parlimen jangan mencampuri soal persempadan semula yang masih berada di mahkamah jelas mencabar institusi itu.

“Niat Bersih sangat jelas iaitu mahu mencetuskan persepsi bahawa pembangkang dilumpuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan cara berkenaan kononnya PRU kali ini adalah terkotor dan menyebelahi BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, untuk menjadi pemerhati PRU, sesebuah organisasi itu perlu berintegriti dan paling penting telus dan neutral tanpa menyebelahi mana-mana pihak politik.

Malangnya dalam hal ini, kata Chandrakumanan, Bersih sudah lama kehilangan kepercayaan rakyat dan hari ini ia lebih berperanan sebagai cawangan DAP dalam Pakatan Harapan.

“Tidak masuk akal dakwaan Bersih kononnya persempadanan semula yang hendak dilaksanakan SPR lebih memihak kepada BN.

“Pada 26 Februari lalu Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar membuat aduan menentang permohonan kedua persempadanan semula ke atas tujuh Parlimen oleh SPR yang jelas membuktikan selain pembangkang wakil rakyat BN turut tidak menyokong dengan cadangan itu.

“Apa yang pasti Bersih cuba mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat menjelang PRU, berharap polis bertindak tegas ke atas Bersih yang cuba merosakkan imej Parlimen dan mereka yang akan berkumpul di hadapan Parlimen nanti,” ambah beliaui. – MalaysiaGazette