Home Nasional Pinjaman Phang beli banglo pada 2008 diluluskan RM2.125 juta

Pinjaman Phang beli banglo pada 2008 diluluskan RM2.125 juta

Ahli perniagaan Phang Li Koon keluar dari Mahkamah Tinggi selepas prosiding perbicaraan kes rasuahnya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditangguhkan pada 2.30 petang ini. Phang dan Lim didakwa berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.?-- fotoBERNAMA (2018)

GEORGE TOWN – Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa permohonan pinjaman bagi pembelian banglo oleh ahli perniagaan Phang Li Koon pada 2008 diluluskan sebanyak RM2.125 juta, sebelum dijual kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tujuh tahun kemudian pada harga RM2.8 juta.

Choong Sung Yean, ketika itu pengurus cawangan Public Bank di Lebuh Bishop, di sini, berkata demikian semasa menjawab soalan peguam Datuk V.Sithambaram, yang mewakili Phang, mengenai jumlah pinjaman yang diluluskan oleh bank itu terhadap anak guamnya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam itu, Choong, 60, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10, berkata Phang membayar ansuran bulanan sebanyak RM11,872 ke atas rumah itu termasuk bayaran pokok dan faedah.

Seorang lagi saksi, Yeoh Yit Pheng, yang ketika itu pengurus perniagaan di cawangan bank berkenaan, mengesahkan surat bertajuk ‘Application for Credit Facilities’ (Permohonan Pemberian Kemudahan Kredit) bertarikh 5 Sept 2008 adalah daripada bank itu kepada Phang.

“Saya sahkan bahawa surat tawaran ini adalah untuk memaklumkan Phang bahawa permohonan pinjaman telah diluluskan oleh Public Bank. Turut disertakan sekali dengan surat ini adalah ‘Letter of Offer’ (Surat Tawaran) yang perlu diterima dan ditandatangani oleh pemohon dalam masa tujuh hari,” katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail pada perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata pendaftaran semasa rumah itu adalah di bawah nama Ming Holdings (M) Sdn Bhd dan kemudian hak milik hartanah itu dipindah milik ke atas nama Phang.

Yeoh, 47, berkata beliau menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat pengesahan dokumen berkaitan akaun permohonan pinjaman pembelian atas nama Phang.

Saksi pendakwaan ke-11, Ch’ng Joo Keat, yang merupakan pengurus perkhidmatan perbankan, di cawangan sama, mengesahkan Phang membuat permohonan pinjaman itu.

Seorang lagi saksi ialah Nor Ain Abdul Rahman, penolong pendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Hari ini pendakwaan memanggil 11 saksi dan perbicaraan akan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan memanggil 14 saksi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai, 2014

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA